View My Stats

Friday, July 4, 2014

Kelebihan Ekstrak Buah-Buahan

SETIAP buah-buahan mempunyai kebaikan tersendiri yang mampu memberikan kesan positif kepada manusia apabila menggunakannya. Kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik bioteknologi di Kolej Teknologi Geomatika mendapati terdapat beberapa bahan aktif penting dalam pelbagai jenis buah-buahan yang amat berguna kepada seluruh tubuh manusia sama ada untuk tujuan kecantikan luaran mahupun dalaman.
Antara bahan aktif yang kaya dalam pelbagai jenis buah-buahan seperti tomato, strawberi dan lemon ialah flavanoid, alkaloid serta phenol. Flavanoid umpamanya mempunyai sifat antioksida yang kuat. Antioksida juga ada pada kebanyakan makanan seperti kentang dan sayuran hijau. Contoh antioksida ialah beta karotin, vitamin A, C, E, koenzim Q10, asid lipoik dan selenium.
Antioksida adalah elemen yang diperlukan oleh badan untuk menghalang dan melindungi sel badan daripada kerosakan aksidatif oleh radikal bebas yang lama-kelamaan akan menyebabkan masalah penuaan seperti katarak, artritis, penyakit Alzheimer dan juga pelbagai penyakit lain seperti barah dan alahan.
Radikal bebas adalah atom atau kumpulan atom yang mengandungi sekurang-kurangnya satu elektron dan ia terhasil daripada pencemaran. Alkohol dan dadah juga penyumbang radikal bebas pada badan, kerana mengandungi pada bahan kimia yang ditambah ke dalam makanan seperti pengawet, pewarna tambahan dan sisa racun serangga.
Beta-karotin pula adalah molekul yang berubah menjadi vitamin A apabila diproses dalam badan dan ia juga adalah antioksida yang bermanfaat untuk penglihatan dan menangani barah.
Vitamin A dan E adalah vitamin larut lemak dan penting dalam penjagaan mata dan kulit yang sihat, manakala vitamin C atau nama lain asid askorbik adalah antara vitamin yang diperlukan untuk perkembangan sel badan dan membantu dalam penyerapan zat besi dalam badan.
Koenzim Q 10 (CoQ10) adalah molekul larut lemak yang bertindak secara sinergistik dengan vitamin E sebagai kumpulan antioksida yang menghalang tindakan radikal bebas terhadap sel dalam badan. CoQ10 berkesan dalam merawat masalah jantung, Alzheimer dan penyakit Parkinson.
Disediakan oleh Azuwasaluwah Ismail dari Persatuan Kecantikan & Spa Bumiputra Malaysia (MABESPA)